Saturday, April 18, 2015

A. Sistem percukaian GST ini penting bagi menggantikan (tukar dari SST kepada GST) sistem percukaian sedia ada iaitu Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang dilaksana secara berasingan selama ini. Ini kerana ia dapat mendokong usaha kerajaan ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang lebih progresif, berdaya saing dan menjamin pertumbuhan ekonomi negara yang lebih mapan.

B. Sebenarnya GST ini bukanlah suatu perkara baru jika dilihat dari konteks global. Negara kita sebenarnya telah beberapa kali menangguhkan perlaksanaan GST ini ke suatu masa yang lebih sesuai dengan suasana ekonomi semasa. Ini disokong dengan bukti bahawa GST ini atau nama lainnya ‘VAT’, Value Added Tax, telah lama dilaksanakan oleh lebih 160 buah negara di seluruh dunia termasuk India, Australia dan semua negara Asean kecuali Myanmar dan Brunei sahaja.

C. Ucapan Anwar Ibrahim sendiri dalam tahun 1993 ketika menjawat jawatan menteri kewangan, bersetuju dan menyokong bahawa GST adalah sebuah sistem percukaian yang jauh lebih baik dan efisyen, malah sehingga kini pun masih berpendirian sedemikian. Oleh sebab itu, Malaysia tidak sepatutnya ketinggalan dalam perlaksanaan sistem percukaian yang lebih baik dan terbukti mampu menjamin pendapatan negara dalam kadar yang sesuai di samping menjaga kebajikan rakyat, khususnya rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

1. GST sebenarnya adalah sebuah sistem percukaian yang sangat adil dan prihatin, baik kepada pengilang, pengedar, peruncit dan juga kepada pengguna barangan dan perkhidmatan itu sendiri. Ia merupakan pengganti kepada cukai jualan (5%-6%) dan cukai perkhidmatan (10%) yang dikenakan kepada rakyat pada masa sekarang. Usaha kerajaan memansuhkan dua cukai tersebut untuk digantikan dengan satu sistem percukaian pada kadar 6% bagi barangan dan perkhidmatan tertentu hakikatnya akan dapat meringankan bebanan rakyat.

2. Ini dibuktikan apabila kerajaan menyenaraikan lebih 273 jenis barangan yang sebelum ini dikenakan cukai jualan sebanyak 10%, telah diselaraskan semula kadar cukainya kepada 6% sahaja. Ini mencatatkan kadar PENURUNAN sebanyak 4% dan sudah pasti akan mencatat penurunan harga kepada kesemua 273 jenis barangan ini.

a) Antara Barangan: minuman berkarbonat, Sunquick, bateri kereta, televisyen, syampu, lampin bayi dll.

b) 273 barangan ini adalah mewakili 65.31% daripada jumlah keseluruhan barangan dikenakan GST, iaitu sebanyak 418 jenis.

3. Keprihatinan kerajaan terhadap kos sara hidup rakyat juga menjadi agenda penting dalam perlaksanaan GST. Atas inisiatif pihak kerajaan untuk berlaku adil terhadap rakyat, selain penurunan kadar cukai sebanyak 4% tadi, GST diperhalusi lagi dengan langkah PENGECUALIAN CUKAI. Berkuatkuasa 1 April 2015 nanti, lebih 271 jenis barangan dan perkhidmatan akan DIKECUALIKAN daripada GST.

Antara yang akan dikecualikan dari GST kelak:

a) Antara Barangan (204 jenis produk): Barangan makanan utama; beras, garam, gula, tepung, minyak masak, rempah ratus, kacang dal, cencaluk, budu, belacan dll.

b) Antara Perkhidmatan (53 jenis perkhidmatan): Sewa/beli rumah kediaman, tanah umum, tol lebuhraya, pengangkutan awam seperti bas, feri, tiket penerbangan, insurans nyawa.

i. Jumlah barangan dan perkhidmatan yang dinyatakan tadi adalah yang KEKAL terkecuali dari sebarang cukai, mewakili sebanyak 93.36% daripada 271 jenis produk dan perkhidmatan yang tidak akan dikenakan GST.

4. Terdapat juga barangan dan perkhidmatan yang sebelum ini dikenakan cukai sebanyak 5% & 6% yang mana selepas perlaksanaan GST nanti, ia tidak akan dikenakan cukai lansung pula. Inilah bukti keadilan sistem percukaian GST oleh kerajaan Barisan Nasional yang amat prihatin kepada semua rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat.

a) Antara Barangan: Ikan masin, gula perang, kelapa parut dll (13 jenis) (dulu 5%, sekarang 0%).

b) Antara Perkhidmatan: Semua perkhidmatan kerajaan, perbaharui lesen, urusan passport, perkhidmatan kesihatan (dulu 6%, sekarang 0%). (1 kategori)

5. Langkah pengecualian cukai GST ini jelas akan meringankan beban rakyat berpendapatan rendah dan sederhana kerana ia adalah suatu perlaksanaan sistem percukaian yang amat menitikberatkan kepentingan rakyat. Ini adalah amat bertepatan dan selari dengan slogan 1Malaysia oleh YAB PM, “Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan”.

6. Jika dilihat perbandingan kadar cukai GST yang dilaksanakan oleh beberapa negara lain pula, jelaslah bahawa dasar perlaksanaan GST oleh kerajaan adalah sangat berorientasikan kepada keprihatinan kerajaan terhadap bebanan rakyat.

a) Singapura & Thailand: 7% GST
b) Indonesia, Filipina, Kemboja, Vietnam: 10% GST
c) Malaysia: 6% GST sahaja

7. Kenaikan 1% terhadap sebahagian barangan yang sebelum ini dikenakan cukai sebanyak 5% nyata tidak akan memberi kesan ketara terhadap pengguna di peringkat bawahan kerana ia tidak melibatkan peratusan jumlah barangan yang besar. Kenaikan ini hanya melibatkan 10.6% barangan sahaja daripada jumlah keseluruhan yang tersenarai di dalam sistem perlaksanaan GST ini iaitu sebanyak 689 produk dan perkhidmatan.

a) Barangan: Nescafe, quaker oats, biskut marie, magi, sos cili (73 jenis).

b) Kadar peratusan penurunan cukai serta jumlah pengecualian cukai GST adalah jauh lebih tinggi dan banyak berbanding barangan yang terlibat dalam pertambahan 1% kadar cukai setelah GST nanti.

8. Kenaikan 1% ini tidak sama seperti kenaikan cukai PBT di Selangor yang melonjak hingga 400% yang nyata mencekik leher para peniaga kecil terutamanya Melayu Bumiputra. Ia turut memberi kesan terhadap harga barangan yang ditawarkan di premis perniagaan di Selangor akibat kenaikan mendadak tersebut. Belum lagi bercerita soal cukai pintu yang menindas rakyat Selangor, masalah bekalan air yang kini terpaksa dicatu dan sebagainya. Kerajaan Barisan Nasional sebaliknya akan sentiasa berusaha bersikap adil dan prihatin terhadap kepentingan rakyat.

9. Antara isu yang dimainkan oleh pembangkang terutamanya si Khalid Samad dan beberapa kerat pemimpin pembangkang dalam sesi perbahasan dalam dewan rakyat adalah berkenaan cukai yang dikenakan ke atas setiap lapisan pengeluaran:

“daripada Pengilang kepada Pembekal/Pemborong, kepada Peruncit dan kepada Pembeli/Konsumer”

Ini jelas menunjukkan tahap kefahaman yang cetek oleh pembangkang berkenaan sistem GST yang akan dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional di Malaysia ini bahawasanya tidak sama dengan GST di negara-negara lain. Kerana apa?

a) Para peniaga boleh tuntut kembali GST yang dibayar ke atas input perniagaan melalui kredit/Rebat.

b) Ini akan menghapuskan elemen cukai atas cukai sepertimana yang terdapat di dalam sistem cukai jualan dan cukai perkhidmatan sekarang. Maka, rakyat akan membayar harga barang dan perkhidmatan yang lebih kompetetif dan telus daripada peruncit. Pengilang, pemborong dan peruncit akan sentiasa mengemaskini dan telus dalam sistem akaunnya untuk mendapat REBAT daripada KPDNKK.

c) Premis peruncitan yang mana menawarkan harga yang lebih murah setelah mendapat peruntukan REBAT, akan mendapat sambutan.

10. Ketelusan dalam perlaksanaan GST ini nanti tidak perlu dipersoalkan lagi. Rakyat dengan sendiri bakal terdidik dengan proses percukaian GST di mana mereka sendiri dapat mengetahui jenis barangan apa, dan berapa kadar cukai yang dikenakan terhadap barangan tersebut. Penjual juga akan lebih telus dalam proses penetapan harga apabila sistem REBAT akan menjadi alat kawalan harga yang amat efektif selain dari penetapan harga siling dan sebagainya. Pelabur asing yang ingin membuat pelaburan ke Malaysia juga tidak perlu tercari-cari kadar cukai, cukai tersembunyi dan sebagainya kerana sistem GST ini adalah mudah dan sistematik.

11. Hanya perniagaan yang nilai jualan tahunannya melebihi tahap threshold sebanyak RM500,000 setahun sahaja yang wajib mendaftar untuk dikenakan GST. Ini bermakna perniagaan kecil tidak akan terbeban dengan kos GST. Malahan, terdapat banyak pula insentif dan program-program yang ‘MESRA PERNIAGAAN’ bagi meransang pertumbuhan ekonomi di peringkat akar umbi.

a) Skim Pedagang (GST kepada pengeksport ditangguh)
b) Skim Pengilang Tol(GST tidak dikenakan kepada pembayar tol)
c) Skim Tukang Emas (GST produk emas & logam berharga tangguh)
d) Skim Margin (pengedar kereta 2nd hand akaunkan GST dalam margin)
e) Skim Penggudangan (GST tiada bagi pembekalan dalam gudang)
f) Skim Bayaran Balik Pelancong (Pelancong boleh tuntut balik GST)
g) Labuan, Langkawi & Tioman: TIADA GST

12. Maka terbuktilah bahawa perlaksanaan sistem percukaian GST ini bukan sahaja adil dan prihatin, malah telus, cekap dan mesra perniagaan terhadap semua lapisan pengeluaran. Malah, perlaksanaannya nanti akan menjadi cerminan keprihatinan kerajaan terhadap bebanan kos sara hidup rakyat selaku pengguna, terutamanya golongan muda.

13. Antara kelemahan yang dikenalpasti berpunca dari sistem percukaian sedia ada adalah elemen cukai atas cukai yang menyebabkan pengguna terpaksa membayar harga yang lebih tinggi dan aktiviti pemindahan harga (Transfer Pricing) yang memberi kesan negatif kepada kutipan hasil negara di peringkat antarabangsa.

14. Menurut perangkaaan oleh Global Financial Index (GFI), Malaysia adalah negara ketiga tertinggi yg menghadapi pengaliran wang haram, ketiga terbesar dunia selepas China dan Mexico.

1. China : US 2.74 trilion
2. Mexico : US 476 billion
3. Malaysia : US 285 billion

Namun demikian, pengaliran wang haram yang menimpa Malaysia adalah tidak sama dengan apa yang dihadapi China dan Mexico kerana kedua-dua buah negara tersebut menghadapi masalah korupsi, ‘black money’ dan ketirisan pengurusan dana negara yang amat teruk.

15. Malaysia bagaimanapun menghadapi masalah berbeza iaitu ‘mis-pricing trade’ di mana secara mudahnya, harga barangan yang dieksport oleh negara telah ‘mark up’ beberapa kali oleh beberapa pedagang yang berbeza, hingga harga akhirnya yang dijual di Amerika contohnya, menjadi sangat tinggi berbanding harga yang dijual ketika mula-mula dieksport. Namun kita tidak mempunyai rekod di atas kehilangan kenaikan ‘mark up’ tersebut.

16. Bank Negara sendiri mengeluarkan kenyataan pada Disember 2013 bahawa GST mampu mengekang masalah pengaliran keluar modal negara akibat dari ‘mis-pricing trade’ ini.

17. Maka dalam hal ini, mekanisma yang terbaik untuk mengatasi mispricing trade ini adalah dengan memperkenalkan sistem percukaian yang lebih efisyen iaitu GST yang mana melaluinya, kita boleh merekodkan pengaliran wang keluar dari negara dan sekurang-kurangnya mengurangkan masalah ‘mis-pricing trade’ yang amat merugikan negara.

18. Bagi memudahkan rakyat untuk dalam membiasakan diri dengan GST ini, kerajaan sebenarnya telah melaksanakan banyak program dan langkah-langkah untuk membantu majoriti rakyat Malaysia dari pelbagai sudut. Usaha untuk membantu orang muda adalah di antara matlamat penting pihak kerajaan. Antara usaha-usaha tersebut adalah:

a) Bantuan Rakyat 1Malaysia secara one-off
i. RM650: Bagi keluarga berpendapatan rendah
ii. RM300: Bujang berpendapatan rendah

b) Sewa dan pembelian rumah kediaman tiada GST, Perumahan Rakyat 1Malaysia PR1MA, dana MYHOME 300juta

c) Kedai Rakyat 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Klinik 1Malaysia.

d) Cukai Pendapatan Individu diturunkan dalam lingkungan 0.5% ke 3%

e) Air paip domestic dan 300 unit pertama penggunaan elektrik tidak dikenakan GST.

f) Bantuan voucher buku pelajar institute pengajian tinggi RM300 (Dulu RM250)

g) Bantuan RM100 kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengahh) Bantuan kepada mahasiswa membeli belah: KAD SISWA 1MALAYSIA

i. KADS1M diwujudkan bertujuan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup pelajar-pelajar IPT awam dan swasta seluruh negara.

ii. Pelajar hanya perlu menunjukkan KADS1M bersama-sama kad pelajar atau kad pengenalan bagi mendapat diskaun di premis-premis perniagaan yang mengambil bahagian.

iii. Contoh premis dan diskaun: KFC (5%), MPH Bookstore (10%), Malaysia Airlines MAS (10%-25%), BATA (10%), Focus Point (20%-50%) dan lain-lain melibatkan perhotelan, pengangkutan, servis, makanan segera, koperasi, kedai buku, alatan sukan dan banyak lagi.

iv) Bantuan Rebat Telefon Pintar 1Malaysia Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) sebanyak RM200, untuk meningkatkan capaian internet kepada orang muda terutamanya belia dan pelajar Universiti, kolej, institusi tinggi. Potongan harga sebanyak RM200 untuk pembelian telefon pintar 3G oleh belia berumur antara 21 tahun hingga 30 tahun, dan berpendapatan bawah RM3000.

19. Rakyat akan lama-kelamaan berubah menjadi pengguna yang lebih bijak dan berhemah serta akan menguruskan perbelanjaan dengan lebih menggunakan pemikiran yang rasional. Dalam masa yang sama, ianya akan mentransformasi cara berfikir rakyat agar standing dengan pemikiran kelas pertama dalam soal membelanjakan wang.

a) Bijak membeli, menang memakai
b) Ukur baju di badan sendiri
c) Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit

20. Di samping itu, dalam perlaksanaan GST ini nanti, janganlah dipolitikkan kerana ianya adalah tidak lain dan tidak bukan semata-mata untuk kebaikan dan kebajikan rakyat dan masa depan negara yang lebih mapan pertumbuhan ekonominya.

Sumber

0 ulasan:

Post a Comment