Firman Allah swt dalam surah al-Asr ayat 1-3 maksudnya :
Para ulama berbeza pandangan tentang surah ini apakah ia merupakan surah Makkiyah ataupun surah Madaniyyah.Nama surah ini al-Asr ini ditafsirkan oleh para sarjana linguistic contohnya al-Raghib al-Asfahaniy dalam Mufradat Alfaz al-Quran berasal Asara yang membawa makna memerah ataupun menekan sesuatu . Dalam bahasa Arab angin yang mempunyai tekanan yag kuat sehingga mampu menyebabkan malapetaka turut dipanggil I’sar. Para ulama di kalangan ahli tafsir seperti Muhammad bin Ahmad al-Qurtubiy mengemukakan pandangan dari Qatadah dari Ibn Abbas menjelaskan al-asr yang digunakan oleh allah dalam surah ini merujuk kepada watu yang terakhir daripada siang sebelum masuknya malam.Tidak dinafikan terdapat juga beberapa tafsiran oleh para ulama lain contohnya Sultan al-ulama al-Izz bin Ab Salam yang mengatakan bahawa al-Asr itu merujuk secara umum kepada masa atau waktu, solat Asar yang sering dipanggil sebagai Solat al-Wusta bahkan ada yang mentefsirkan sebagai hayat Nabi s.a.w.Kebanyakan pandangan ini adalah bersumberkan kepada pandangan Habr al-Ummah Abdullah bin Abbas..Memilih pandangan masyhur di kalangan para mufassir yang cenderung mengatakan bahawa al-Asr merujuk kepada waktu Asar kita akan memahami bahawa penamaan ini mungkin disebabkan manusia telah memerah tenaganya sejak dari awal pagi maka tiba waktunya untuk dia memungut dan menuai hasilnya.Menurut pengarang tafsir al-Manar Allah memulakan surah ini dengan bersumpah dengan waktu Asar kerana kebiasaan orang-orang Arab pada masa turunnya al-Quran mereka akan duduk bersembang-sembang tentang hari yang dilalui.Dalam perbualan itu sering terjadi mereka mempersalahkan waktu atau hari yang dilaluinya.Juga tidak kurang pula menganggap sial pada nasib yang tidak menyebelahi sebahagian mereka disebabkan kerugian dalam perniagaan, penipuan yang dilakukan oleh orang lain kepada mereka dan lain-lain...
Pandangan yang disetujui oleh penulis adalah pandangan jumhur ulama yang mentafsirkan al-Asr sebagai waktu.Menerusi umumnya maksud waktu menerusi tafsiran ini Allah s.w.t bersumpah demi waktu bagi menyatakan kepentingan pengisian waktu dengan cara yang dianjurkan oleh Islam.Waktu adalah modal utama manusia, apabila diabaikan dari mengisi dengan cara yang betul , maka ia akan berlalu begitu sahaja.Tepatlah kata Sayyiduna ali r.a yang telah berkata : “Rezki yang tidak diperolehi pada hari ini masih mampu diperolehi pada hari esok, tetapi waktu yang telah berlalu pada hari ini tidak mungkin akan kembali esok”.
Kata al-Insan adalah merujuk pada manusia keseluruhannya tanpa kecuali, baik orang yang beriman ataupun non-muslim.Sesetengah mufassir memperjelaskan bahawa manusia yang dimaksudkan di sini walaupun umum, tetapi tidak mencakupi mereka yang tidak mukallaf seperti anak yang belum baligh, orang gila dan seseorang yang tertidur.
Perkataan Khusr pula mempunyai banyak maksud, antara lain ialah rugi, sesat, celaka, lemah, tipu helah dan makna-makna yang membawa kepada negative yang tidak disenangi oleh sesiapapun.Penggunaannya yang berbentuk indefinite memberikan erti kepelbagaian bentuk kesesatan.
Lafi pula adalah kombinasi huruf Lam yang mengandungi makna sumpah dan huruf Fi yang mengandungi makna tempat.Gabungan ini mengisyaratkan bahawa keseluruhan manusia berada dalam satu wadah kerugian.
Mengelakkan terjerumus setiap individu dalam lembah kerugian maka manusia harus memanfaatkan waktu.Manusia menjadi rugi apabila tidak mengisi masa ataupun tersilap dalam mengisi masa.Di sini kita menemui begitu banyak saranan dalam hadis yang memperingatkan manusia supaya mempergunakan waktu dengan betul.Sebagai contohnya sebuah hadis sahih riwayat al-Tirmiziy [1] yang bermaksud : Tidak akan berganjak kaki seseorang itu pada hari Kiamat sehinggakan dia ditanya tentang uurnya, bagaimanakah dia menghabiskannya, dan tentang ilmunya apakah yang dilakukan dengannya, tentang hartanya, dari mana diperolehinya dan bagaimanakah dia membelanjakannya, dan tubuhnya bagaimanakah dia menggunakannya.
Dari intisari hadis di atas, jelaslah kepada kita bagaimana pentingnya pengisian waktu dalam kehidupan mukmin bagi menyelamatkannya dari kerugian dunia dan akhirat.
Ayat yang lalu menegaskan bahawa manusia berhadapan dengan kerugian yang beraneka bentuk.Tetapi dalam ayat yang terakhir Allah s.w.t mengecualikan golongan manusia yang melakukan empat kegiatan penting iaitu beriman, melakukan amal-amal salih serta saling berwasiat dengan kebenaran dan berwasiat dengan kesabaran.
Al-Imam al-Qurtubiy membawakan sebuah riwayat yang mauquf[2] kepada Ibn Abbas bahawa beliau mentafsirkan golongan yang beriman sebagai abu Bakar, beramal salih sebagai Umar r.a , berpesan dengan kebenaran sebagai Uthman bin affan r.a dan berpesan dengan kesabaran sebagai Ali r.a.Walaupun pandangan ini bukanlah suatu yang sahih dari Nabi, namun Ibn Abbas r.a yang terkenal dengan julukan pendita umat ini mempunyai sebab yang konkrit menobatkan keempat tokoh sahabat ini sebagai yang dikehendaki oleh Allah menerusi ayat.
Iman secara ringkas seperti yang disepakati oleh ahlussunnah wal jama’ah adalah pembenaran oleh hati terhadap keenam rukun iman yang diimani oleh semua mukmin.Islam ini secara dasarnya berdiri di atas dua asas, iaitu yang pertama bersifat pengetahuan sedangkan yang kedua adalah berteraskan kepada amalan.Atas dasar ini kefahaman kepada frasa allazina amanu adalah berkaitan dengan pengetahuan yang berpaksikan kebenaran.Beramal salih pula dijelaskan sebagai mengerjakan aktiviti yang bermanfaat dan sesuai.Banyak hadis yang telah memberikan penjelasan tentang pekerjaan atau aktiviti yang dikategorikan sebagai amal salih.Lebih jelas lagi Imam al-Nawawi mengemukakan dalam kitabnya Riyadhus salihin sebuah bab , yang dinamakan sebagai “ Banyaknya Jalan-jalan kebaikan ( Amal Salih ).
Al-Imam Ibn Kathhir ketika mentafsirkan ayat ke 88-89 dari surah al-Syu’arak menjelaskan bahawa amal salih yang dikerjakan mesti memenuhi dua syarat, iaitu yang pertama mestilah selari dengan apa yang dilakukan oleh Nabi s.a.w dan yang kedua ia hendaklah dikerjakan dengan ikhlas kerana Allah s.w.t semata-mata.Hakikat ini dinyatakan dengan lebih jelas menerusi ayat ke 37 surah al-Hajj yang bermaksud :
Apabila seseorang itu telah beriman kepada Allah dan diikuti dengan melakukan amal salih maka dia telah memenuhi seperdua dari tuntutan yang akan mengelakkan dia dari tergolong sebagai orang yang rugi.Di hadapannya dia masih terikat dengan dua syarat lagi iaitu keperluannya menjalin hubungan dengan individu lain.Pemilihan nama al-Insan itu sendiri dalam bahasa Arab adalah berasal dari perkataan anis yang mengisyaratkan keperluannya untuk berteman.Benar sekali kata ahli sosiologi Islam Ibn Khaldun yang mengatakan bahawa manusia merupakan makhluk yang bersifat social.Cuma kehebatan mesej al-Quran apabila ia menerangkan bahawa jalinan itu hendaklah berdiri di atas dasar iman yang signifikan dengan kalimah al-Haq.Sesetengah ahli tafsir, contohnya Ibn Kathir, Ibnul Jawzi, al-Khazin mentafsirkan kalimah Haq itu sebagai aqidah yang benar,al-Quran dan penghayatannya dan tidak kurang pula yang mentafsirkan dengan Allah s.w.t sendiri.Manakala al-Sabr pula adalah berkaitan dengan kewajipan-kewajipan yang difardhukan.Muhammad ali al-Sabuniy dalam al-Safwat memilih pandangan al-Qurtubiy bahawa penting bagi setiap kita yang ingin selamat dari kerugian agar bersabar di atas segala ujian dalam hidup.
Iman dan amal salih tidak mencukupi dalam rehlah kehidupan.Sungguh tepat kesimpulan yang dibuat oleh al-Allamah al-Sawiy Hasyiat al-Sawiy tentang ayat-ayat ini.Kata beliau : “Surah ini memberikan penekanan yang khusus tentang kepentingan menjalin hablum minalLah atau hubungan dengan Allah berupa ketaatan dan amal salih dan dalam masa yang sama hubungan dengan manusia atau hablumminannas yang diterjemahkan dengan ikatan kemasyarakatan yang sihat berteraskan tradisi nasihat menasihati kerana Allah s.w.t.
Demikian surah al-Asr merupakan kepada seluruh manusia.Sungguh tepat pendapat imam Syafi’iy yang mengatakan : “ Jika manusia menghayati kandungan surah ini, maka sesungguhnya cukuplah ia memberikan petunjuk bagi kehidupannya.” WALLAHU A’LAM.
.
[1] Riwayat al-Tirmizi no 2602 dalam Sunannya.
[2] Mauquf bermaksud sesuatu hadis yang disandarkan kepada sahabat sahaja, baik yang disandarkan itu merupakan perkataan atau perbuatan.
Rujukkan dari: http://www.zahazan.net/
0 ulasan:
Post a Comment