Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan suatu kenyataan daripada seorang anggota Majlis Fatwa Perlis yang mendakwa bahawa menjadikan masjid sebagai lokasi akad nikah adalah menyimpang daripada amalan Rasulullah. Beliau berkata lagi: “Rasulullah pernah mengingatkan umat islam supaya tidak melakukan akad nikah dalam masjid kerana ia meniru penganut Kristian yang menikah dalam gereja dan Yahudi di rumah ibadat mereka.” Kenyataan yang dikeluarkan dalam akhbar Kosmo ini tentunya mengelirukan masyarakat awam lebih-lebih lagi masyarakat islam hari ini cuba berjinak-jinak dengan masjid dengan mengadakan akad nikah di dalam masjid. Penulis terpanggil untuk mengulas dan memperbetulkan kenyataan ini berdasarkan fakta ilmiah.
Pada hemat penulis, dakwaan yang mengatakan bahawa akad pernikahan dalam masjid menyimpang daripada amalan Rasulullah s.a.w. adalah dakwaan yang tidak berasas. Sesuatu perkara samada perintah ataupun larangan yang dikaitkan kepada Rasulullah s.a.w. hendaklah mempunyai sandaran yang kukuh. Ini kerana Rasulullah s.a.w. pernah mengingatkan kita agar tidak melakukan pembohongan atas nama baginda. Baginda bersabda: “Sesiapa yang mengadakan perbohongan atas namaku dengan sengaja, maka sedialah tempatnya dalam neraka”. Kita tidak jumpai sesuatu hadis nabi yang melarang mengadakan akad nikah di dalam masjid. Sebaliknya kita jumpai hadis yang menggalakan diadakan akad pernikahan di dalam masjid. Hadis yang dimaksudkan ialah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi, sabda Rasulullah s.a.w.: “Hendaklah kamu mengiklankan perkahwinan dan jadikanlah ianya di dalam masjid serta pukullah kompang”. Kata Imam Tarmizi: “Hadis ini adalah hadis yang hasan”.
Dakwaan akad nikah di dalam masjid menyerupai amalan Kristian adalah dakwaan yang tidak berasas dan tidak rasional. Ini kerana orang Kristian bukan sahaja mengadakan akad perkahwinan mereka di dalam gereja malahan mereka juga mengadakan sembahyang mereka di dalam gereja. Adakah kita juga akan melarang umat islam bersolat di dalam masjid atas alasan yang sama iaitu menyerupai amalan kristian yang bersembahyang di dalam gereja? Kenapa kita membezakan akad nikah dengan solat? Begitu juga kenyataan yang mengatakan nabi hanya mengadakan sekali sahaja akad nikah di dalam masjid tidak boleh dijadikan hujah untuk menolak perbuatan mengadakan akad nikah di dalam masjid. Malahan sebenarnya ia menjadi hujah untuk mengharuskan perbuatan akad di dalam masjid berdasarkan kaedah Usulul Feq. Kalaulah akad nikah di dalam masjid itu dilarang, pasti nabi tidak akan melangsungkan akad tersebut di dalam masjid.
Syeikh Atiah Saqar yang merupakan Ketua Lajnah Fatwa Universiti Al-Azhar, Mesir ketika mengulas soalan yang sama berkata: “Imam Tarmizi telah meriwayatkan hadis daripada Aisyah r.a. bahawa Rasululah s.a.w. bersabda: “Hendaklah kamu mengiklankan perkahwinan dan jadikanlah ianya di masjid serta pukullah kompang” Kata Imam Tarmizi: Hadis ini adalah hadis yang hasan. Imam baihaqi mendaifkannya. Kata Syeikh lagi: Melangsungkan akad pernikahan didalam masjid adalah salah satu bentuk mengiklankan perkahwinan begitu juga memukul kompang. Semua itu adalah perkara yang ada dalam syariat. Sekurang-kurangnya ia adalah harus dan sebahagian ulama’ mengatakan sunat. Kesemua itu adalah harus dengan syarat tidak mengundang perkara-perkara yang terlarang seperti perbuatan yang boleh mencacatkan kehormatan masjid atau menggangu orang yang bersolat, kehadiran perempuan-perempuan yang haid di dalam masjid, pergaulan bebas antara lelaki dan pe rempuan, pendedahan aurat dan seumpamanya”. Rujuk Al-Fatawa: Min Ahsanil Kalam Fi Fatawa Wal Ahkam, Maktabah At-Taufiqiah, JIl:1, M.s: 533
(Artikel penulis ini telah diterbitkan dalam Buletin Surau Ibnu Sina, Pusat Perubatan UKM, keluaran ke-32 pada Jumaat 15 April 2011 )
Credit to: Ust Hasrizal Hasan
Saturday, April 23, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 ulasan:
Post a Comment