Wednesday, February 20, 2008


Catatan seorang ibu mengharungi detik-detik kelahiran 2 orang puteri.

Cahaya kecerdikan/kepintaran. Itulah makna di sebalik nama puteri sulung kami Nur Faqihah yang dilahirkan pada 3 Jun 2006 jam 11.35 pagi seberat 2.6 kilogram. Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi di atas pemberian cahaya yang menyinari hidup kami. Pahit getir mharungi 12 jam di ‘Labor Room’ reda apabila melihat kelibat kecil yang mulus di hdpn mata. Air mata mengalir tanda kesyukuran yang tidak terhingga di atas anugerah yang tidak ternilai drpd Allah S.W.T. Segalanya bermula di sini....


Tiga hari sebelum due (6/6/06), jam 11 mlm 2hb ibu mula terasa sakit perut menandakan waktu utk bersalin tiba. Lantas ibu memberitahu mama & papa ibu lalu mereka menelefon abie yg ketika itu on the way dari Key El. Jam 12 mlm misi datang ke rumah dan memeriksa pintu rahim ibu, ianya baru terbuka 1cm. Tanpa membuang masa ibu segera berkemas dan bertolak ke HTM. Di sana ibu dimasukkan ke wad memandangkan jalan baru 2cm. Setiap jam ibu menanti kelahiran sayang. Mata langsung tidak dapat dilelapkan dek kontraksi tersebut. Kesakitan mula menebal di awal pagi selepas ibu bersarapan. Sekali lagi nurse memeriksa pintu rahim dan ternyata telah terbuka 5cm.

Slps itu, ibu disorong ke Bilik Bersalin. Ibu ditempatkan di Bilik Pemerhatian sementara menunggu Bilik Bersalin kosong. Di sini ibu keseorangan menanggung kesakitan yang tak terperi. Di waktu pagi yang hening, ibu semakin terasa serangan kontraksi. Selang 15 minit sekali. Dalam fikiran ingin saja ibu meminta doktor suntik epidural. Namun Ibu masih bertahan demi untuk anak ibu. Walaupun terasa perit yang tak tertanggung, ibu masih setia utk mengharungi segalanya. Ibu mahu merasakan keperitan melahirkan anak ibu. Namun, kontraksi makin kuat terasa sehinggakan air mata ibu tidak terbendung lagi. Ibu beruntung mendapat jururawat yang baik dan sabar melayan ibu.


Selepas itu Ibu dibawa ke Bilik Bersalin. Takut. Seram Sejuk. Gembira. Semuanya bercampur-baur. Apabila sudah memakai pakaian seragam hospital, ibu semakin takut. Mampukah ibu mengharungi semua ini? Ibu yakin, ibu boleh. Walaupun ketika itu ibu sudah terasa kesakitannya yang kerap kali terjadi. Sebaik sahaja sampai di Bilik Bersalin, ibu berbaring lagi dan mesin CTG dipasang di badan ibu. Bidan silih berganti menjaga ibu. Sehingga jam 10 pagi, rahim ibu baru terbuka 7 cm. Alhamdulillah. Akhirnya, bukaan rahim ibu semakin besar. Kata-kata doktor mengatakan sebentar lagi ibu akan melahirkan anak ibu cukup menenangkan ibu. Tapi apakan daya ibu, anak ibu masih ingin berada di dalam perut ibu. Kontraksi semakin kuat, ibu sudah tidak tahan lalu meminta nurse memecahkan ketuban, mulanya nurse tidak mahu memecahkan ketuban kerana kiraannya dalam pukul 11 barulah air ketuban akan dipecahkan. Setelah berbincang dengan nurse lain, mereka bersetuju akhirnya setelah melihat ibu yang lemah tak bermaya. Setelah air ketuban dipecahkan, kiraan bukaan pintu rahim telah terbuka sepenuhnya sehingga 10cm. Saat itu nurse memanggil abie masuk untuk memberikan kata2 semangat untuk ibu. Dalam kesakitan, ibu sempat melihat air mata abie menitis melihat kesungguhan ibu dalam berjuang demi untuk melahirkan zuriatnya. Abie tidak putus2 membaca doa untuk ibu tanpa melepaskan genggaman tangannya.

Kesakitan ibu semakin perit. Di dalam kesakitan, ibu mengharungi getirnya mengeluarkan anak ibu. Kalimat Lailahailla anta subhanaka inni kuntu minazzolimin yang tidak pernah terputus dari mulut ibu masih lagi ibu baca. Setelah banyak kali ibu cuba, akhirnya ibu berjaya melahirkan anak ibu. Tepat jam 11.35 pagi, anak ibu lahir ke dunia ini. Alhamdulillah. Semasa proses membersihkan rahim ibu dan menjahit, mata ibu hanya tertumpu pada anak ibu. Setelah anak ibu dibalut dan diukur, terdengar sayup-sayup di telinga ibu, abie sedang mengiqamatkan anak ibu. Segala keperitan ibu hilang begitu sahaja.

Berbeza dengan kakak, kesakitan ibu melahirkan Athirah tidak sama dengan pengalaman pertama ibu. Ibu telah melepasi tarikh due sebenar iaitu pada 28 November. Sehingga 3 Disember jam 12 mlm ibu mula terasa ingin membuang air. 3 kali ibu ulang-alik ke toilet sehingga ibu mengejutkan abie kerana sangkaan ibu ini mungkin petanda untuk ibu bersalin. Walhal ibu belum terasa sakit untuk bersalin. Sebagaimana kakak, nurse juga datang ke rumah dan memeriksa pintu rahim dan bukaan adalah 5cm lalu ibu digegaskan ke HTM. Setiba di HTM jam 4 pagi, ibu dikejarkan ke Labor Room. Sekali lagi pintu rahim ibu diperiksa dan bukaan telah menjangkau 7cm. Terlalu cepat masa berlalu, kesakitan hanya sekejap2 seolah2 bukan tanda untuk bersalin. Sekali lagi kalimat Lailahailla anta subhanaka inni kuntu minazzolimin yang tidak pernah terputus dari mulut ibu masih lagi ibu baca. Nurse segera memecahkan ketuban. Dalam menanti kelahiran, Ibu masih lagi terfikir bila agaknya anak ibu mahu melihat dunia kerana ibu tidak merasa kesakitan sebagaimana yang ibu rasa sewaktu melahirkan kakak. Ini lah yang diperkatakan jika tempoh bersalin anak sulung dan kedua dengan jarak yang dekat. Kali ini ibu berjuang berseorangan tanpa abie di sisi. Ini kerana nurse bagitahu terlalu mudah ibu bersalin. Tepat jam 4.48pagi seberat 3.15kg, 3 Disember 2007 terdengarlah tangisan Nur Athirah (Cahaya yang Utama). Menitis air mata ibu ketika memandang tubuh kecil molek anak ibu.

Walau apa pun dugaan yang dilalui, ibu cukup gembira. Apatah lagi abie. Kehadiran 2 puteri permata hati ini benar-benar membahagiakan ibu dan abie. Ini adalah anugerah yang tidak ternilai. Terima kasih kepada semua yang telah banyak membantu ibu semasa ibu bertarung di sana. Buat abie, ibu benar-benar menghargai setiap detik yang abie luangkan bersama ibu.

Tarikh keramat 3hb benar2 teruja. Ibu juga dilahirkan pada 3hb Oktober 1982. Sama seperti tarikh lahir kedua2 puteri ibu yang comel dan lincah.

Buat anak ibu, Nur Faqihah & Nur Athirah, catatan ini dikarang agar menjadi azimat bila ibu tiada kelak. Jangan sesekali menderhaka pada abie. Sentiasa menghormati abie dan orang tua, pandai menjaga maruah diri dan keluarga. Ibu sentiasa berdoa agar anak ibu sentiasa diredhai, dirahmati dan dilindungi Allah S.W.T.


Ibumu,

Nurul Salwana Mansor



0 ulasan:

Post a Comment